Monday, January 19, 2015

Ahmad Fadzil Nayan - semoga roh mu dicucuri rahmat

Semalam saya menerima berita yang menyedihkan dari laman sosial. Ahmad Fadzil Nayan, pemain catur kebangsaan telah meninggal dunia pada jam 9.08 malam di Hospital KPJ , Ipoh. Punca kematian seperti  yang dimaklumkan ialah masalah jantung.

Secara peribadi, saya tidaklah mengenali Ahmad Fadzil Nayan secara dekat. Tetapi sebagai pemain catur, saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau. Apa yang saya boleh katakan ialah Fadzil antara  pemain yang sangat berpotensi untuk pergi lebih jauh lagi.

Pada tahun lepas, beliau telah mewakili negara dan beraksi cemerlang di kejohanan Olympiad di Tromso. Prestasi cemerlang beliau diteruskan di Malaysian Open dimana beliau berjaya seri di Round 1 dengan juara kejohanan - GM Zhang Zhong.

Walaubagaimanapun, tanpa disangka-sangka, disaat prestasi Ahmad Fadzil Nayan sedang memuncak pada masa itu, beliau mengadu tidak sihat dan telah dibawa ke hospital . Beliau kemudian menarik diri dari kejohanan kerana keadaan beliau yang agak kritikal.

Setelah beberapa minggu berada di hospital, beliau telah dibenarkan untuk keluar dari hospital. Ramai yang melawat dan melihat gambar beliau sedar bahawa agak sukar untuk Ahmad Fadzil Nayan untuk kembali bermain chess secara serius seperti sebelum ini.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan kira-kira 4 bulan setelah beliau dikesan mempunyai masalah berkaitan jantung, Ahmad Fadzil Nayan telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 18 Januari 2015 kira-kira jam 9.08 malam.

Sebagai kenalan catur, Ahmad Fadzil Nayan  ialah seorang yang tidak lokek dengan senyuman. Menang, kalah, seri beliau sentiasa tersenyum. Rekod permainan saya dengan beliau ialah 2-1. Beliau menang dua dan saya menang satu. Kemenangan tunggal saya itu ialah kerana menang masa disaat saya dalam posisi kalah. Diakhir permainan saya mohon maaf kerana menang secara tidak "proper" tapi Ahmad Fadzil Nayan dengan senyuman ikhlas kata tak apa.

Sentiasa tersenyum dan ceria samada menang, kalah, seri, sihat dan tidak sihat. Ahmad Fadzil Nayan yang ku kenali.

 Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat-Nya Dan Ditempatkan Dikalangan Orang-Orang Yang Beriman Dan Soleh. Al-Fatihah

No comments:

There was an error in this gadget