Temuramah Bersama Mohd Fadli Zakaria (photo kanan)
Pemilik Cerdik Catur Enterprise
Pemain/Jurulatih/Penganjur
FIDE rating 2070
Temuramah ini telah diadakan pada jam 6 petang, 31 Januari 2010 (Ahad) di Restoren Mahbub, Bangsar, Kuala Lumpur.
Hairulov: Hi Fadli, tolong ceritakan serba sedikit mengenai latarbelakang anda?
Fadli Zakaria: Saya berasal dari Johor Bahru, Johor. Semasa di sekolah rendah (Sekolah Temenggong Abdul Rahman 1, Johor Bahru) , saya pada mulanya agak handal dalam sukan badminton dimana saya sering mendapat pingat dalam sukan ini semasa dalam darjah 5-6. Saya mula belajar catur semasa di darjah 5, pada masa itu saya minat baca buku-buku catur dan buku yang paling saya minat ialah My System ....
Hairulov: Buku My System oleh Aron Nimzowitch ?.....
Fadli: Ya...
Hairulov: Wow, darjah lima dah baca buku tersebut?
Fadli: Ya, darjah lima saya dah baca buku tersebut. Masa tu saya tiada jurulatih tapi setelah saya baca buku tersebut saya mendapati bahawa catur ini ada mengandungi taktik, positional play dan selepas itu semasa saya darjah 6 saya telah berjaya menjadi juara sekolah. Saya berusaha sendiri untuk meningkatkan diri dalam permainan catur melalui pembacaan buku-buku catur yang baik kerana jika belajar melalui buku-buku yang kurang baik tak berkesan juga.
Semasa saya di tingkatan 1 (Sekolah Menengah Dato' Jaafar (SDJ), Johor Bharu), saya "bersara" dari bermain badminton kerana telah mula memakai kaca mata. Yang menariknya semasa saya berada di sekolah menengah, saya mula aktif dalam catur dan telah dilantik menjadi Presiden Kelab Catur SDJ dimana saya bersama pelajar-pelajar lain berusaha sendiri melalui bimbingan guru sekolah untuk mencari penaja-penaja bagi aktiviti-aktiviti catur di sekolah. Saya mendapat pengalaman yang berharga pada masa itu tentang cara untuk mendapatkan penaja yang dapat memberi sumbangan seperti trofi untuk pertandingan catur sekolah. Kami telah dilatih untuk mencari penaja sejak di bangku sekolah lagi!
Saya juga telah berkerjasama dengan pelajar-pelajar sekolah lain sekitar Johor Bahru untuk menganjurkan pertandingan antara sekolah-sekolah berdekatan.
Hairulov: Para pelajar yang banyak mainkan peranan ya?....
Fadli Zakaria: Ya, pada masa itu di sekolah saya guru-guru tidak terlibat sangat . Setiap sekolah akan bergilir-gilir menganjurkan pertandingan dan hasilnya lahirlah generasi pemain-pemain catur berbakat seperti NM Kamal Abdullah, bekas pemain negara - Darren Yong, saya, Faisal Zakaria dan beberapa pemain lain. Melalui penganjuran aktiviti-aktiviti catur di sekolah, kami belajar bagaimana misalnya untuk menganjurkan sesuatu pertandingan catur.
Setelah sekolah menengah, iaitu sekitar tahun 1990an, saya telah berkerjasama dengan Najib Abdul Wahab untuk program-program catur di sekitar Shah Alam, Selangor. Pada masa itu, ramai pemain catur tertumpu di Shah Alam untuk menyertai pertandingan/program catur.
Hairulov: Program catur di Shah Alam ini dibawah kelolaan siapa?
Fadli Zakaria : Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA). Pada masa tersebut, MPSA merancang untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar catur. MPSA memberi bantuan dari segi kemudahan tempat pertandingan dan kami mengadakan aktiviti catur bersama sekolah-sekolah disekitar Shah Alam.
Apa yang saya pelajari dari program-program ini ialah aktiviti catur harus diperbanyakkan. Pada pandangan saya kita tidak boleh mengatakan kita nak melahirkan Grandmaster (GM) kerana nak lahirkan GM bukan senang. Apabila kita melaksanakan banyak aktiviti catur, secara semulajadinya akan lahirlah beberapa genius dikalangan pemain-pemain yang ramai itu.
Pada saya sekiranya kita betul-betul nak lahirkan GM, pemain tersebut perlu ke luar negara dan kemahuan untuk menjadi GM perlu lahir dari individu itu sendiri.
Hairulov: Ok, apakah profession anda sekarang?
Fadli Zakaria : Sekarang ini saya menceburi diri secara sepenuh masa dengan aktiviti catur.
Hairulov: Adakah Fadli mempunyai syarikat catur sendiri?
Fadli Zakaria: Ada, tapi anehnya kebanyakkan para pelanggan saya sering membuat urusan secara terus dengan saya bagi program-program seperti latihan dan bengkel. Untuk tahun ini saya telah menubuhkan Cerdik Catur Enterprise (CCE). Sasaran saya adalah untuk CCE mengadakan bengkel-bengkel catur di Majlis-Majlis Perbandaran dan syarikat-syarikat besar. Sebagai contoh, saya melalui syarikat saya CCE telah diminta oleh Kompleks 3C melalui Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk mengadakan bengkel catur pada 18 Mac tahun ini.
Hairulov: Bagaimana dengan syarikat anda Stonemaster Event Management sebelum ini?
Fadli Zakaria: Saya telah menghentikan operasi syarikat tersebut dan sekarang ini saya akan bergerak melalui syarikat baru saya iaitu CCE.
Program utama CCE bagi tahun ini ialah penjualan peralatan-peralatan catur dan yang paling utama sekali ialah Program Cerdik Catur Jarak Jauh (PCCJJ).
Hairulov: Apa pandangan anda mengenai keadaan catur di Malaysia pada masa ini?
Fadli Zakaria: Pada pandangan saya, dahulu (sekitar tahun 1990an) kuantiti sedikit tapi kualiti ada. Namun sekarang kuantiti banyak tapi kualiti tiada. Kalau kita perhatikan, setelah 20 tahun, pemain-pemain seperti IM Mashafizul, IM Mok Tze Meng, Ismail Ahmad, FM Peter Long masih mendominasi sukan catur tempatan. Mengapa ini berlaku?
Hairulov: Tolong ceritakan serba sedikit visi / misi catur anda?
Fadli Zakaria: Saya ada misi saya sendiri. Sebagai contoh pada tahun lepas saya anjurkan latihan dan bengkel-bengkel catur. Ok mengapa saya adakan latihan/bengkel catur?...mengapa saya anjurkan pertandingan-pertandingan?..... Ini kerana saya telah dicabar oleh seseorang yang mengatakan bahawa sukan catur ini tidak boleh "buat duit".
Sebenarnya, kalau kita buat betul-betul, kerjaya dalam catur ini boleh memberi pulangan yang baik. Tapi kalau kita hanya tumpu untuk main sahaja memang susah. Kita harus mengadakan aktiviti-aktiviti catur lain seperti latihan, bengkel dan pertandingan. Sebagai contoh Stonemaster Amatuer dimana saya dapati apabila dianjurkan pertandingan seumpama ini , sambutan amat menggalakkan kerana ramai berpeluang untuk mendapat hadiah.
Untuk menganjurkan pertandingan yang baik, kita kena buat persiapan yang rapi, tak boleh main redah sahaja. Kita kena rancang dari segi masa, tarikh (pertindihan dengan pertandingan lain) , konsep dan aspek-aspek lain.
Sebagai contoh, di United States (US) dan United Kingdom (UK), pengurusan penganjuran (event management) catur merupakan satu bentuk perniagaan. Saya dapati di negara ini, event management yang berjaya ialah dalam sukan golf. Hadiah-hadiah yang lumayan seperti kereta Mercedes ditawarkan. Pertandingan-pertandingan seumpama ini dianjurkan oleh syarikat event management dengan menggunakan konsep yang betul.
Untuk menganjurkan pertandingan ditempat-tempat tertentu, kita kena buat kajian awal ditempat tersebut. Kita kena mengenali dan menghubungi orang-orang penting dikawasan tersebut yang boleh menghantar para pemain untuk menyertai pertandingan yang kita anjurkan. Saya sendiri sekiranya hendak menganjurkan sesebuah pertandingan, saya memerlukan persediaan sekurang-kurangnya 2 bulan lebih awal. Sekiranya kurang dari tempoh tersebut saya tidak akan lakukannya. Sebagai contoh pertandingan catur Stonemaster Amatuer saya yang pertama pada 18 Mac 2010 ini. Saya telah mula membuat kerja-kerja awal dari bulan Januari 2010 lagi. Ini semua adalah hasil dari pengalaman saya semasa menganjurkan pertandingan-pertandingan catur pada tahun 1990an. Saya dapati sekiranya persediaan dibuat dengan baik, sambutan pasti menggalakkan.
Pengalaman sebegini ini saya perolehi sekitar tahun 1990an hasil daripada tunjuk ajar dari individu-individu seperti Hj. Ibrahim Abu Bakar, International Arbiter (IA) Abdul Latif dan IA Abdul Hamid Majid. Mereka banyak memberi dorongan kepada saya untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan catur.
Misi saya tahun ini telah bermula dengan perancangan untuk menganjurkan lima pertandingan Stonemaster Amatuer dan Program Cerdik Catur Jarak Jauh (PCCJJ) dimana penduduk-penduduk di kawasan pedalaman pun akan lebih mengetahui mengenai sukan catur. Program-program latihan saya juga akan berjalan seperti biasa dan saya akan terus kesekolah-sekolah yang berminat untuk mendapatkan khidmat latihan.
Misi saya untuk tahun hadapan pula ialah untuk menerbitkan Majalah Catur tempatan walaupun usaha ini agak sukar seperti yang telah dialami oleh beberapa pihak sebelum ini.
Hairulov: Mengapa Fadli berpandangan majalah catur tempatan ini perlu ada?
Fadli Zakaria: Saya berpandangan bahawa Majalah Catur ini wajib ada kerana sebagai perbandingan, sukan bolasepak mempunyai majalahnya sendiri. Ini kerana selain daripada internet, majalah juga merupakan satu medium untuk memasarkan sukan catur ini. Cuba kita bayangkan majalah-majalah catur ini ada dikedai-kedai buku, orang ramai akan lebih berminat dengan catur.
Masalah untuk menerbitkan majalah catur ini ialah modal. Saya menganggarkan modal lebih kurang RM 15,000 diperlukan untuk memulakan usaha ini. Ini melibatkan urusan pendaftaran, pencetakan dan lain-lain. Selepas itu, masalah lain pula akan timbul.... bagaimana hendak jual dan pasarkan majalah tersebut? Kita kena mencari ejen-ejen dan pengedar untuk mejualnya. Kerja-kerja ini agak merumitkan dan pada peringkat awal akan merugikan. Walaubagaimanapun majalah catur tempatan ini mesti diterbitkan kerana ...jika tiada...nampak agak ganjil sedikit.
Saya juga tiada halangan sekiranya ada pihak lain yang sanggup menerbitkan majalah ini. Cubalah. Saya , saya akan menggunakan sebahagian dari pendapatan saya dari latihan/bengkel catur sebelum ini untuk dilaburkan dalam penerbitan majalah tersebut.
Hairulov: Apakah rancangan jangka panjang anda?
Fadli Zakaria: Pada pengamatan dan pengalaman saya, dalam sukan catur ini sesiapa yang membuat perancangan jangka panjang biasanya perancangan tersebut tidak akan berjaya. Mengambil contoh sukan bolasepak, apabila FAM membuat perancangan jangka panjang , sasaran itu seolah-olah tidak jelas. Sebagai contoh misalnya perancangan untuk melahirkan GM dalam tempoh sepuluh tahun, mungkin akan berlanjutan untuk tempoh yang lebih lama. Saya sendiri tidak berani untuk membuat perancangan sebegitu, apa yang saya buat ialah mengadakan aktiviti-aktiviti jangka pendek (tahunan) seperti apa yang saya telah nyatakan sebelum ini.
Hairulov: Ok, bagaimanakah anda seimbangkan diantara menjadi pemain catur, jurulatih dan penganjur?
Fadli Zakaria: Saya rasa saya boleh seimbangkan semua aktiviti-aktiviti catur saya seperti anjurkan pertandingan, bengkel, latihan dan cari penaja dan masih seorang pemain catur yang kuat. Sebagai contoh saya baru sahaja mendapat tempat kedua dalam pertandingan catur Thaipusam Open di Excell Chess Academy sebentar tadi .....
Hairulov dan Fadli Zakaria: hahahahahaha.....
Fadli Zakaria: Pada pandangan saya, kalau kita boleh banyakkan aktiviti catur, kita tidak akan terasa terkongkong dan tidak akan mudah rasa bosan berbanding sekiranya kita hanya bermain sahaja.
Hairulov: Siapa pemain catur luar negara dan tempatan yang anda minat?
Fadli Zakaria: Untuk pemain luar negara, saya amat meminati Richard Reti.Sebagai contoh saya telah menggunakan pembukaan Reti (Reti Opening) semenjak darjah 5 lagi!...
Hairulov: Ya....saya perhatikan anda bila bermain buah putih sering menggunakan bukamainan ini dari dahulu lagi.... fianchetto kedua-dua belah bishop di b2 dan g2. Mengapa anda sangat meminati buka mainan ini?
Fadli Zakaria: Ini kerana bukamainan Reti tidak perlu banyak variasi untuk dipelajari kerana ia memang tidak ada banyak variasi berbanding bukamainan lain. Pembukaan ini juga lebih tertutup, positional. Oleh itu, pemain-pemain yang malas untuk belajar bukamainan ini akan takut dengannya.
Bagi pemainan catur tempatan pula saya amat meminati gaya permainan rakan saya Kamaluddin Yusof. Ini kerana beliau mempunyai corak permainan yang agak sama dengan saya. Saya juga banyak belajar dan berbincang mengenai permainan catur dengan beliau.
Hairulov: Ok, tolong ceritakan serba sedikit tentang latihan catur anda sendiri?
Fadli Zakaria: 4-5 bulan kebelakangan ini saya agak kurang berlatih kerana banyak menumpukan tenaga untuk kerja-kerja seperti menyediakan kertas kerja untuk penganjuran pertandingan/bengkel/latihan, mencari penaja dan merangka modul latihan.
Jadual saya agak padat setiap minggu, boleh katakan dari Isnin hingga Sabtu jadual saya penuh dengan bengkel dan latihan catur. Baru-baru ini saya telah membuat sedikit perubahan dimana saya telah menukarkan program latihan/bengkel catur saya pada hari Sabtu untuk dimasukkan pada waktu-waktu pada hari Isnin-Jumaat dari siang hingga ke malam.
Saya menganggap catur ini sebagai kerjaya tetap saya kerana ianya memang boleh memberikan pulangan yang baik. Saya tidak anggap catur ini sebagai satu hobi dan saya mengunakan konsep business dalam menjalankan program catur saya. Resume saya sudah agak tebal dan ini memudahkan dan memberi keyakinan kepada saya untuk berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan.
Mengenai kaedah latihan saya sendiri, saya berlatih menggunakan buku-buku catur, perisian-perisian seperti Fritz12, Rybka dan juga bermain secara online di internet. Saya pelbagaikan latihan catur saya supaya saya tidak mudah bosan.
Hairulov: Ok, akhir sekali ada apa-apa perkara yang anda nak utarakan sebelum kita akhiri temuramah ini?
Fadli Zakaria : Ok, kalau boleh janganlah ada pihak yang nak sabotaj usaha-usaha yang saya rancang nak lakukan ini.....
Hairulov dan Fadli Zakaria: Hahahahaha......
Fadli Zakaria: Saya sekarang ini mendapat bantuan daripada adik saya Mohd Faisal Zakaria. Ramai peminat catur yang tidak mengenali beliau. Beliau sebenarnya pernah 4 kali mewakili Johor dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah - Sekolah (MSSM) dan beliaulah yang banyak melatih Abdullah Che Hassan semasa diperingkat awal.
Saya telah melantik Faisal sebagai Pengurus Cerdik Catur Enterprise (CCE). Dia juga membantu saya dalam program-program latihan. Beliau sering mempertahankan saya bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan saya sering "cakap besar". Menurut beliau, adalah penting untuk "cakap besar" kerana saya adalah seorang ahli perniagaan. Saya bukan sombong tetapi saya perlu tonjolkan diri untuk memasarkan diri saya.
Hairulov : Ok, terima kasih Fadli kerana meluangkan masa untuk temuramah ini.
Fadli Zakaria : Ok terima kasih juga dan jangan risau... saya akan belanja anda hari ini!
Hairulov: Hahaha..terima kasih...terima kasih :)
No comments:
Post a Comment