Saturday, August 09, 2008

Temuramah Bersama Muhammad Arshad

Temuramah Bersama Muhammad Arshad
Muhammad Arshad (photo atas) - Setiausaha bagi Persatuan Catur Negeri Terengganu (PCNT) merupakan seorang pengiat catur yang amat aktif di arena tempatan. Beliau sendiri adalah seorang pemain catur yang berkaliber dan berpengalaman, walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini beliau telah memilih untuk lebih fokus dalam pembangunan catur di negeri Terengganu khususnya dalam melahirkan bakat-bakat catur baru. Ikuti temuramah Hairulov dengan beliau semasa di MAKSAK Pulau Pinang 2008 baru-baru ini.
Terangkan serba sedikit mengenai diri anda ?
Saya berasal dari Kuala Lipis, Pahang dan ayah saya seorang polis. Saya dilahirkan kira-kira 44 tahun dahulu. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gong Kapal, Kuala Terengganu manakala Sekolah Menengah di SM Chong Hwa, Kuala Terengganu juga. Saya seorang ahli perniagaan , telah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Bagaimama anda mula bermain catur ?
Saya mula bermain catur mulai tahun 1972 semasa era Fischer Boom . Abang saya yang mengajar saya bermain catur. Beliau mengajar saya pergerakan buah-buah catur secara satu persatu. Semasa itu saya tidak bermain dimana – mana pertandingan kerana tiada maklumat yang saya ketahui mengenai pertandingan-pertandingan catur.
Pertandingan catur saya yang pertama ialah semasa saya belajar di Sekolah Chong Hwa dimana saya berjaya menewaskan (pukul!) semua guru-guru yang memasuki pertandingan tersebut. Seterusnya pada 1979 saya memasuki pertandingan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Terengganu (Zon Terengganu Selatan). Antara pemain hebat yang bermain dikejohanan tersebut ialah Lim Beng Huat – seorang pemain segenerasi dengan FM Peter Long . Lim Beng Huat sekarang ini menetap di Canada. Beliau merupakan antara pemain catur terkuat di peringkat MSSM. Selepas itu, saya telah terpilih mewakili Zon Terengganu Selatan untuk bermain di peringkat MSSM Terengganu dimana dalam pertandingan tersebut saya berjaya dipilih untuk bermain bagi Negeri Terengganu untuk kejohanan MSSM.
Pertandingan catur seterusnya yang saya sertai ialah Pertandingan Catur MSSM pada tahun 1981 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Antara penganjur yang bertanggungjawab menjayakan pertandingan tersebut ialah Charlie Chan.
Pada tahun 1984, saya menyertai pula sebuah pertandingan Catur Novis, Universti Teknolgi Malaysia, Jalan Semarak dimana saya berjaya mendapat tempat ke-10. Bagi pasukan Terengganu pula, pertandingan yang saya tidak dapat saya lupakan ialah semasa pasukan Terengganu menjadi Johan dalam Pertandingan Catur Berpasukan Antara Negeri di Sabah pada tahun 1991 dan saya berjaya mendapat hadiah papan kedua terbaik! Sehingga hari ini saya masih terus bermain di pertandingan-pertandingan catur diperingkat tempatan.
Apakah jawatan anda dalam Persatuan Catur Negeri Terengganu (PCNT) ?
Saya merupakan setiausaha PCNT sejak 1991 dan pada masa ini, saudara Rahim Ramli (photo kanan) merupakan Presiden PCNT .
Boleh anda jelaskan serba sedikit mengenai objektif dan matlamat PCNT?
Objektif dan matlamat PCNT ialah untuk mempopularkan dan memperkembangan sukan catur di Terengganu. Ini kerana , selain daripada 2-3 ibubapa yang serius memperkembangkan bakat anak-anak mereka dalam permainan catur, majoriti para ibubapa di Terengganu yang mempunyai anak – anak yang bermain catur hanya mengganggap permainan ini hanyalah untuk suka-suka sahaja.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya keseriusan para ibubapa adalah kerana pertandingan-pertandingan banyak tertumpu di sekitar Kuala Terengganu manakala didaerah-daerah lain agak terbatas. Kebanyakan pemain-pemain catur pasukan Negeri Terengganu menetap di Kuala Terengganu.
Ok, bolehkah anda nyatakan perancangan Persatuan Catur Negeri Terengganu (PCNT ) untuk tahun ini ?
Perancangan PCNT ialah menganjurkan pertandingan-pertandingan catur diperingkat Negeri Terengganu seperti Program Pencarian Jaguh Catur Negeri Terengganu yang merupakan satu siri pertandingan untuk mencungkil bakat-bakat catur di negeri Terengganu.
Sebanyak 5 siri Pertandingan Pencarian Jaguh Catur Negeri Terengganu dibawah tajaan Pusat Minda Terengganu dengan kerjasama PCNT telah dan akan dilaksanakan pada tahun ini. Pusat Minda Terengganu merupakan sebuah organisasi di bawah kerajaan negeri Terengganu. Lebih RM 100,000 telah dibelanjakan untuk program-program seperti ini.
Pertandingan Pencarian Jaguh Catur Negeri Terengganu Siri 2 akan dilaksanakan pada 8-9 Ogos 2008 manakala siri 3 pula akan diadakan pada 22 Ogos 2008. Siri 4-5 akan diadakan pada penghujung tahun ini. Siri yang terakhir adalah FIDE Rated Tournament yang akan diadakan pada 18-23 Disember 2008. Selain daripada menganjurkan pertandingan-pertandingan, pelaksanaan program pembangunan catur yang lebih teratur dan berkesan juga penting. Program-program yang dimaksudkan ialah seperti program kejurulatihan dan bengkel. PCNT juga bercadang untuk melatih para guru tadika mengenai asas permainan dan teknik catur supaya mereka dapat membimbing bakat-bakat catur diperingkat bawah lagi.
Apakah pandangan anda mengenai hala tuju sukan catur di Malaysia ?
Pada pandangan saya , halatuju sukan catur di Malaysia berada pada landasan yang betul. Walaubagaimanapun, peruntukan kewangan yang signifikan perlu sebagai satu pelaburan bagi mempertingkat sukan ini. Ini kerana kebanyakan pemain-pemain catur berbakat dinegara kita kebanyakannya akan mula tidak aktif apabila berada di Universiti atau memasuki bidang kerjaya masing-masing. Ini kerana dinegara kita, sukan ini tidak dapat menyumbangkan pendapatan tetap dan menjamin masa depan.
Selain daripada itu, pihak kerajaan perlu membuat perubahan dasar terhadap sukan-sukan bukan fizikal seperti catur. Kerajaan perlu memberi lebih peruntukan bagi sukan ini. Malaysia adalah sebuah negara yang kecil, walaubagaimanapun asas pembangunan sukan ini agak lemah pada masa ini. Sebagai contoh, dikebanyakkan sekolah, jurulatih catur kebanyakkannya terdiri daripada guru-guru “bidan terjun” yang tidak mempunyai asas catur yang baik. Dari segi media pula, laman-laman web catur tempatan agak aktif memaparkan perkembangan catur tempatan berbanding media-media konservatif seperti media massa dan media elektronik.
Terima Kasih atas temuramah yang menarik ini.
Sama-sama.

No comments: